Selasa, 17 Januari 2012
SELAMAT TAHUN BARU 2012
Jumaat, 25 November 2011
Saya baru nak bercuti...
Mungkin orang lain yang bergelar guru sudah lama bercuti, tapi penulis baru sahaja mula bercuti hari ini. Namun demikian, masih ada perkara-perkara yang belum lagi tuntas. Banyak benda hendak diselesaikan, pegang satu, dua hilang, kendong dua, tiga jatuh. Tidak berkesudahan sebenarnya tugas yang ada. Konon hendak menghantar tugasan terakhir-minit mesyuarat guru kepada puan guru besar hari ini, namun tidak kesampaian juga. Seorang rakan yang sedang mengikuti kursus pengijazahan merayu meminta tolong, tugasannya sudah mencecah deadline tapi baru ada tajuk! Mulanya penulis menolak, kerana kepala sangat berat dengan tugasan sendiri, namun tidak sampai hati mendengar nada kecewanya berkata: "ok, takpelah..."penulis sms dia kembali, menyanggupi untuk sekadar beberapa muka surat sahaja, minta dia e-mailkan tajuk tugasan. Selesai 4 muka surat lengkap dengan kata-kata hikmat dan bibliografi tengah malam semalam, penulis berhenti kerana minda penulis tidak mampu lagi bersaing dengan ingatan untuk menyiapkan minit mesyuarat yang ada.
Waktu makin singkat, malam ini penulis akan bertolak ke Kedah, giliran bertamu ke sana pula pada kali ini. Dalam hati merimbun senyum kerana penulis akan menjejak Pulau Mutiara pula lagi seminggu. Penulis akan tetap mengenang pulau yang banyak mengajar erti kehidupan pada penulis itu. Teringat kehidupan bujang penuh onak dan ranjau. Bersendirian tanpa saudara-mara dan taulan, belajar, bekerja memeras seluruh tenaga demi kesinambungan hidup. Penulis ingin sekali lagi menaiki feri Pulau Pinang-Pulau Undan; Pulau Angsa; Pulau Rimau; Pulau Pinang; Pulau Payar; Pulau Kapas; Pulau Rawa; Pulau Talang-
Berkejar-kejar antara Pengkalan Raja Tun Uda dan Pengkalan Sultan Abdul Halim, mengira obor-obor yang timbul di permukaan laut, melihat gelagat manusia yang berbagai-bagai rupa dan kerenah...dan kalau boleh penulis ingin mencari di manakah gerangan si Mamat dan ibu bapanya kini. Si Mamat adalah seorang budak sekitar usia 5 tahun pada 1998. Setiap hari dia akan mengikut ibunya yang bekerja sebagai tukang cuci dengan syarikat feri. Mereka tinggal di belakang kedai arak sekitar Jalan Chain Ferry. Penulis tidak pernah berbual dengan mereka, tetapi merakam kisah keluarga ini dalam catatan harian, setiap kali penulis temui mereka di atas feri semasa penulis berulang alik dari Pulau Pinang ke Sungai Petani sekitar tahun tersebut.
Si Mamat kini tentu sudah dewasa. Apalah nasib dia sekarang? Hidup di gelandangan, di kota raya yang tidak banyak peluang untuk mereka yang tidak berwang. Masihkah dia memakai seluar biru yang ketat pinggangnya dek keboyotan perutnya? Masihkah dia berbaju lusuh bergambar usang? Masihkah mereka sekeluarga tinggal di belakang kedai arak? Masih sihatkah ibu dan bapanya yang kala itu sudah berusia? Penulis ingin sekali menyoroti nasib si Mamat...
Khamis, 3 November 2011
Lawatan Ilmu bersama si kecil

Salam takzim,
Seluruh badan masih keletihan di kala ini setalah satu hari yang panjang penulis dan rakan-rakan mengiringi anak didik kami ke Lawatan Ilmu di Kuala Lumpur semalam. Dengan jentera kudrat kami berempat-penulis, Cikgu Salina, Cikgu Aida dan saudara Akmal juruteknik makmal komputer, kami kepenatan mengejar, mencari, mengekori, mengitari murid-murid Tahap 1 yang mengikuti rombongan kali ini. Ke Pusat Sains Negara, Planetarium, Masjid Negara dan Zoo Negara, kami kehujanan hingga penulis mengalami sakit kepala yang amat sangat. Kemuncaknya, dalam perjalanan pulang, penulis mula merasa diri bergentayangan, di awangan, di bayangan dan segala khayalan lagi...hinggakan Cikgu Salina yang menumpang kereta penulis pula yang terpaksa memandu kereta penulis dan menghantar penulis pulang....sesampai di rumah, berhamburan isi perut penulis muntahkan.
Ah, penulis sebenarnya mabuk kenderaan! Satu kenyataan yang kadang-kala malu diperkatakan. Tapi itulah, larangan yang sudah ketahuan. Penulis pantang menaiki bas, van mahupun duduk di kereta bahagian belakang!
Walau janji dalam hati, tak mahu mengikuti sebarang rombongan lagi, namun perasaan sangat puas melihat anak-anak didik gembira dan teruja dapat berjalan bersama-sama, semuanya riang gembira!
Isnin, 24 Oktober 2011
Untuk diri sendiri, anak-anak dan sesiapa sahaja yang bernama muslim...
12 Azab Meninggalkan Solat
Dalam sebuah hadis menerangkan bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda : "Barangsiapa yang mengabaikan solat secara berjemaah maka Allah s.w.t. akan mengenakan 12 tindakan yang berbahaya ke atasnya. Tiga daripadanya akan dirasai semasa di dunia ini, antaranya :-
2. Allah s.w.t. mencabut Nur orang-orang mukmin daripadanya.
3. Dia akan dibenci oleh orang-orang yang beriman.
Tiga macam bahaya adalah ketika dia hendak mati, antaranya :
1. Ruh dicabut ketika dia dalam keadaan yang sangat haus walaupun dia telah meminum seluruh air laut.
2. Dia akan merasa amat pedih ketika ruh dicabut keluar.
3. Dia akan dirisaukan akan hilang imannya.
Tiga jenis bahaya yang akan dihadapinya ketika berada di dalam kubur, antaranya :-
1.Dia akan merasa susah terhadap pertanyaan malaikat mungkar dan nakir yang sangat menggerunkan.
2. Kuburnya akan menjadi cukup gelap.
3. Kuburnya akan menghimpit sehingga semua tulang rusuknya berkumpul (seperti jari bertemu jari).
Tiga lagi azab nanti di hari kiamat, antaranya :
1. Hisab ke atasnya menjadi sangat berat.
2. Allah s.w.t. sangat murka kepadanya.
3. Allah s.w.t. akan menyiksanya dengan api neraka
Kredit dengan sedikit ubah suai bahasa untuk: tanbihul_ghafilin.tripod.com/himpunankisahteladan2.htm
Ahad, 16 Oktober 2011
Selasa, 4 Oktober 2011
Kerana Sebatang Pensel.
Tatkala bangkit dari lena sejam yang lalu, penulis teringat akan tiga buah buku yang baru tiba dari kantor PTS tengah hari semalam. Buku-buku yang ditempah dalam talian itu tiba selepas empat hari menunggu. Kesibukan kerana membawa anak ke klinik petang semalam tidak mengizinkan penulis membaca buku-buku tersebut pada awal malam. Nah, detik 12.30 malam penulis teringatkan buku-buku itu lalu mencari sebatang pensel untuk memulakan bacaan. Sedar dan ingat kotak pensel penulis tertinggal di sekolah, lalu penulis menuju ke ruang tengah yang menempatkan rak buku dan alat tulis. Namun, fokus beralih melihat beberapa keping biskut bertaburan di atas sofa dan ambal. Ini kerja Akhtar! Setelah mengutip serpihan biskut, ke dapur pula penulis tuju. Terhenti di situ pula melihat mangkuk aiskrim dan mug kopi di atas singki. Kemudian, teringat pula kain-kain yang diputar daam mesin basuh menjelang maghrib semalam. Dalam keadaan seram seriau berhadapan pohon-pohon pisang di belakang rumah, diiringi bunyi cengkerik tiada henti, penulis menyidai kain pula di situ. Ah, hanya kerana pencarian sebatang pensel…penulis melarat ke beberapa kerja. Pensel kini sudah di tangan, buku Asmah Hj Omar dan Abdullah Hassan sudah di sisi menunggu tuan.
Jumaat, 16 September 2011
Selamat Hari Malaysia
Perjanjian Penubuhan Persekutuan Malaysia ini telah ditandatangani oleh wakil-wakil kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Nama Malaysia diisytiharkan pada 16 September 1963 dan telah diadakan di Stadium Merdeka Kuala Lumpur pada 16 September 1963.
Titipan ini adalah dari sanubari penulis, apabila termangu oleh reaksi seorang doktor semasa penulis mendapatkan rawatan kerana demam dan batuk semalam: "Mahu cuti?saya kasi awak m.c esok ya?" "Esok cutilah dr," kata saya. "Cuti apa?" "Hari Malaysia,"tambah saya. "Hari Malaysia tu apa?" Sangat menyedihkan.............

